Sunday, April 26, 2009

Thursday, April 09, 2009

Ya Allah berilah ku kekuatan untuk menempuh semua ini!

Di dalam hidup kita, kita tidak akan lepas dari dua keadaan. Satu, keadaan yang disenangi oleh diri dan nafsu kita. Keduanya, keadaan yang sebaliknya. Kedua-dua keadaan ini mesti kita hadapi dengan sabar dan redha. Keadaan pertama contohnya, kesihatan, keamanan, makanan yang lazat, pakaian yang cantik, rumah yang selesa, harta dan pangkat, suami dan isteri yang membahagiakan, anak-anak yang cerdik dan taat, kejayaan dalam pelajaran, kawan-kawan yang mengembirakan, pujian dan sanjungan serta pelbagai lagi yang disenangi oleh diri kita.

Keadaan kedua yang tak disenangi oleh nafsu dan diri pula seperti, kematian orang yang disayangi, perpisahan, musibah, kecurian, penghinaan, penipuan, peperangan, penyakit yang tiba-tiba datang menimpa, pengkhianatan kawan dan saudara, anak-anak yang menguji ibu bapa, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Dua situasi ini silih berganti, dan kedua-duanya perlu ditangani dengan sabar dan redha.

Hakikat Sabar

Sabar merupakan pertarungan di antara kehendak agama dengan kehendak hawa. Bagi mukmin, dalam apa keadaan pun, dia akan berusaha memenangkan kehendak agama. Sheikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi di dalam Maw’izah al-Mu’minin menyebutkan pertarungan di antara kehendak agama dan kehendak hawa dalam diri manusia terbahagi kepada 3 keadaan.

Pertama: Kehendak hawa yang telah berjaya ditundukkan. Hawa tidak ada lagi kekuatan untuk berperang dengan agama. Mereka yang mempunyai hal seperti ini akan mampu bersabar dalam setiap keadaan. Mereka di namakan al-Zafirin (Orang-orang yang berjaya). Golongan ini sedikit sekali, mereka inilah orang-orang siddiqin dan muqarrabin iaitu mereka yang mengatakan "ربنا الله ثم استقاموا", iaitu Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul.

Kedua: Kehendak hawa selalu mengalahkan kehendak agama. Kehendak agama telah tersungkur tidak mampu melawan, lalu menyerah kepada tentera-tentera syaitan. Manusia dalam hal seperti ini terlalu ramai. Mereka inilah al-Ghafilun (orang-orang yang lalai). Mereka ini telah dirompak oleh syahwat mereka sendiri. Mereka ini disebut di dalam al-Qur’an sebagai " أولئِك الذين اشتروا الحياة الدنيا بالآخرة" (Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat.

Ketiga: Sentiasa berlaku pertarungan sengit di antara dua tentera, tentera agama dan tentera hawa nafsu. Kadang-kadang kehendak agama yang menang, kadang-kadang pula hawa nafsu yang menang. Mereka ini dinamakan mujahidin. Kenapa sekejap kehendak agama yang menang, dan sekejap kalah? Kerana, ahwal golongan ini, yang bercampu-campur antara amalan baik dan jahat. Semoga Allah memberi keampunan kepada golongan ini.

Pengertian ringkas sabar dan redha

Sabar bereti: Menahan diri daripada mengeluh atau mengadu dengan penderitaan dan kesulitan yang dihadapi.

Al-Kashani menghuraikan, sabar ialah menahan diri dari mengadu kepada selain Allah, dalam waktu yang sama dia terpaksa menanggung atau memendam perasaan di dalam jiwa. Bererti, sabar itu memang sakit kerana kita terpaksa berkerja keras menahan sesuatu rasa, sama ada benci, kecewa, sedih, marah, putus asa di dalam jiwa kita. Al-Kashani mengatakan lagi, kalaulah seseorang tidak perlu menahan rasa, jiwanya tak gelisah dengan apa yang dihadapi, itu sudah di maqam redha. Orang yang bersabar tidak akan mengeluh atau mengadu kepada makhluk, sebaliknya mengadu kepada Allah s.w.t semata-mata. Seperti Nabi Ayub a.s, Nabi Zakaria a.s dan nabi-nabi yang lain. Mereka mengadu hanya kepada Allah.

Al-Harawi menyebut, sabar merupakan sifat yang paling sukar untuk diamalkan dan dijadikan pakaian oleh orang awam. Ya lah… seperti kita, kita belum terbiasa dengan mujahadah dan latihan melawan nafsu. Tentu sukar apabila sesekali kita perlu memulakan sabar. Apabila kita sudah biasa, menahan diri dan bersabar dengan apa sahaja yang kita hadapi, kita akan merasa lazat dengan bala dan penderitaan. Bukankah apabila kita dalam kesedihan, kesulitan dan musibah, ibadah kita dan munajat yang kita panjatkan kepada Allah, lebih tulus, lebih lazat dibandingkan ketika kita dalam nikmat?

Redha pula seperti firman Allah, "ارجعي إلى ربك راضية مرضية" (Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).

Dari ayat ini jelas, keredhaan Allah tidak akan diperolehi oleh mereka yang tidak redha kepada kurniaan Allah. Malah redha kepada Allah menjadi syarat untuk kembali kepada Allah dan mendapat RedhaNya.

Orang yang redha ialah orang yang tidak akan mendahului kehendak Allah. Apa yang telah lalu dan yang akan datang, dia terima. Tapi sebagai manusia, dia tetap juga akan menangis dengan kehilangan dan kematian orang yang dicinta. Dia tidak mempertikaikan kenapa perkara-perkara itu ditimpakan kepadanya. Seperti sabda Rasululullah s.a.w. ketika kewafatan anakandanya Ibrahim (a.s), "إن العين تدمع، والقلب يحزن، ولانقول إلا ما يرضي ربنا، وإنا بفراقك يا إبراهيم لمحزونون" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Walaupun kesedihan melanda hati dan air mata yang membanjiri, itu tidaklah keluar dari batasan sabar dan juga redha, kerana itu merupakan fitrah dan sifat yang sinonim dengan manusia.

Keupayaan Sabar yang Allah bekalkan

Ustaz Nursi menasihatkan tentang keupayaan sabar yang ada dalam diri manusia. Allah sudah bekalkan cukup kepada kita. Semua manusia sebenarnya mampu menanggung apa jua yang datang dalam hidupnya tanpa keluh kesah. Seharusnya kita menumpukan hidup kita dengan apa yang berada di hadapan kita sekarang. Kita tidak patut masuk campur dalam urusan Allah. Mungkin kita terkenangkan segala kesulitan dan kesedihan yang lalu. Juga penderitaan yang bertahun-tahun sudah kita hadapi dan masih tidak hilang sampai sekarang. Di dalam Luma’ah kedua, kita diingatkan supaya tidak mengenang lagi perkara lalu yang menyakitkan. Bukankan perkara itu sudah pun berlalu? Ia sudah lepas dan tidak lagi menyakitkan kita. Apa perlunya kita menjemput kembali dan merasakan kesakitan yang tidak ada? Kesakitan itu sudah pun habis…tetapi pahalanya kekal. Kerana kita bersabar. Pahalanya tersimpan kukuh di sisi Allah.

Begitu juga yang akan datang. Buat apalah kita membayangkan ketakutan dan kesempitan yang belum terjadi. Apa yang akan jadi esok belum pasti, kenapa kita harus membebankan diri kita dengan perkara yang belum pasti. Bodohlah kita kalau kita bimbangkan sesuatu kesakitan dan musibah yang dijangka sedang menanti kita. Ia sebagaimana bodohnya orang yang makan dan minum sebanyak-banyaknya kerana dibimbangi akan lapar dan haus di hari esok. Kebimbangan pada sesuatu yang belum terjadi adalah tidak berasas sama sekali.

Jadi, kita hadapi sahaja hari ini dengan penuh tawakkal. Kerana keupayaan kita untuk bersabar telah cukup Allah bekalkan. Jangan kita bebani pemikiran dan jiwa kita dengan perkara yang telah lalu dan yang akan datang. Tumpukan segala kekuatan untuk menghadapi hari ini.

“Bertenanglah, kerana hari-hari itu belum tiba lagi. Janganlah kau menangis sebelum dipukul. Janganlah engkau takut tanpa sebarang sebab, janganlah engkau mengada-adakan benda yang tidak wujud. Tapi fikirkanlah masa kini. Kesabaran yang engkau ada mampu bertahan untuk saat ini.”

Segala kesulitan penyakit dan musibah, hakikatnya bukanlah musibah, tetapi ia adalah sentuhan rabbani.

“Kesimpulannya, sebagaimana kesyukuran menggandakan nikmat, begitulah juga keluhan. Ia hanya menambah musibah dan menafikan seseorang dari mendapat belas kasihan.”

Wallahu a’lam, Subhanakala ‘ilma lana illa ma ‘allamtana innaka antal ‘alimul hakim”

Credit to: http://albazrah.blogspot.com/2006/08/sabar-dan-redha-2.html