GAYA HIDUP : MANFAAT BERJALAN KAKI [BRISK WALKING]
Ramai wanita yang beranggapan senaman di gymnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat tetapi tidak membabitkan sebarang kos.
Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang. Amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat seperti berikut
Berat badan Stabil
Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolism tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolism tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.
Menurunkan berat badan
Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan laju secara rutin.
Elak serangan jantung
Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung. Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung meyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku pembuluh darah ke jantung.
Angin ahmar atau strok
Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan laju dengan strok, namun kajian dilakukan terhadap
70 000 pesakit Sekolah Kesihatan Harvad, Amerika Syarikat, yang sering berjalan iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak dua daripada tiga kes.
Mencegah kencing manis
Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar enam kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama dalam kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).
Mencegah osteoporosis
Pergerakan badan yang aktif dan berjalan laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.
Meredakan sakit lutut
Lebih sepertiga masyarakat kita mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.
Tekanan
Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.
Kanser
Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua sedia maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.
Sumber : Berita Mingguan Julai 2009