Ketenangan jiwa adalah sumber bagi kebahagiaan. Seseorang individu tidak akan mengalami perasaan yang bahagia sekiranya jiwanya tidak tenang.
Hakikat perjalanan hidup yang dilayari, semakin jauh direntasi maka semakin banyak peristiwa yang dihadapi. Banyak persoalan kehidupan yang menyebabkan manusia merasa bimbang, resah dan gundah. Tanggung jawab juga semakin banyak yang perlu dilaksanakan dan menyebabkan pemikiran manusia perlu memikirkan bagaimana ia perlu dilaksanakan selain persoalan-persoalan yang perlu dijawab. Setiap individu secara relatifnya memiliki banyak tanggungjwab berbanding dengan nisbah kemampuannya dari segi tenaga, masa dan material. Sebagaimana Al-syahid Imam Hassan Al-Banna mengatakan bahawa "Kewajipan itu lebih banyak dari waktu yang ada."
Secara logiknya, apabila berhadapan dengan banyak persoalan dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan tentulah seseorang itu sukar untuk mempunyai jiwa yang tenang. Selagi tanggungjawab tersebut tidak diselesaikan secara lumrahnya agak mustahil untuk dia merasa tenang. Walau bagaimanapun, kita memaklumi bahawa selagi manusia itu tidak berhenti bernafas, selagi itulah masih wujud perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan. Maka di sini timbul persoalan, bagaimanakah seseorang manusia boleh memiliki ketenangan jiwa saudara?
Adakah harta kekayaan, kemasyhuran atau segala nikmat yang wujud di dunia ini boleh menjadi mekanisme yang baik bagi seseorang manusia dapat memiliki ketenangan jiwa? Sebenarnya, semuanya ini memang memungkinkan. Ia berlaku apabila semua kelebihan dan kebaikan ini diurus dengan baik dan dibelanjakan dengan cara yang diredai Allah. Cuma lumrahnya, harta kekayaan yang dimiliki lebih menjadi suatu dugaan kepada seseorang. Apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu dugaan tentulah lazimnya hatinya akan keresahan, seperti seseorang yang berada dalam peperangan. Dia mungkin menang di dalam dugaan tersebut, dan barangkali juga dia kecundang.
Ketenangan jiwa yang hakiki sebenarnya adalah anugerah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dan terserap ke dalam hati-hati orang yang beriman. Ketenangan jiwa bagi orang-orang yang beriman menjadikan mereka mempunyai hati yang teguh dan mantap berbanding dengan orang lain yang mengalami kegoncangan perasaan. Gabungan ketenangan dan keimanan yang terletak di dalam hati seseorang akan mewujudkan keyakinan yang tinggi pada ketika orang lain mengalami perasaan ragu-ragu dan syak wasangka. Gabungan ini juga akan menghasilkan kesabaran dan ketabahan yang jitu pada ketika orang lain mengalami keluh kesah.
Ketenangan seperti inilah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda berhijrah bersama sahabat baginda Saydina Abu Bakar Al-Siddiq. Tidak ada perasaan cemas, berduka cita, kebimbangan atau sebagainya. Dan keadaan mereka berdua ini disebut dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah menolongnya (Muhammad), ketika orang-orang kafir mengusirnya, mereka hanya berdua sahaja ketika mereka berada di dalam gua. Pada kala itu dia berkata kepada temannya: Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah bersama kita."
Maka di sini timbul persoalan, “mengapakah orang beriman lebih berhak merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman hati?” sedangkan secara logiknya manusia boleh merasakan kedamaian jiwa apabila dia bijak menguruskan pembahagian tugas dengan masa yang ada padanya, tidak kira sama ada dia seorang Islam ataupun bukan. Mengapa orang yang tidak beriman tidak boleh memiliki ketenangan atau kedamaian jiwa yang hakiki?
Orang beriman lebih mampu memiliki kedamaian di hatinya atau dianugerahi perasaan tersebut kerana yang paling utama dia telah menerima fitrah kemanusiaan yang Allah tanamkan dalam dirinya dengan ikhlas. Dia menerima dengan reda perjalanan hidup yang sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang manusia. Fitrah manusia merasa lapar dan kenyang, dahaga dan segar, sakit dan sihat, kecewa dan gembira dan sebagainya. Dia akur dan ikhlas menerima keadaan yang yang dialami. Umpamanya, apabila dia merasa dahaga dia tidak merungut dengan rasa tidak selesa tekaknya. Atau apabila dia merasa lapar, dia tidak akan bersungut dengan bunyi keroncong perutnya. Dia menyedari bahawa itulah fitrah seorang manusia yang dahaga atau lapar.
Sebaliknya, bagi manusia yang menolak fitrah ini, dia hanya mahu menerima keadaan yang menyenangkan dirinya dan enggan untuk menerima perasaan yang tidak selesa bagi dirinya. Apabila seseorang manusia menerima fitrah ini, dia sebenarnya mengenali dirinya, asal usul kewujudannya dengan rasa insaf dan mengetahui tujuan hidupnya. Selanjutnya, dia mengetahui tugas dan kewajipannya terhadap Pencipta yang menjadikannya. Semuanya ini memberi maksud bahawa dia mengenali Allah s.w.t sebagai Penciptanya.
Maka, kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki tidak akan berlaku kepada manusia yang tidak mengenal dirinya dan tidak mengenal Tuhannya. Allah swt telah berfirman yang seiringan dengan hal ini yang firman itu bermaksud;
"Orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah melupakan mereka terhadap dirinya sendiri."
Berhubung dengan keadaan mengenali atau tidak mengenali seorang hamba terhadap Tuhannya, hakikatnya di dalam setiap diri manusia telah wujud fitrah kemanusiaan yang mengiktiraf kewujudan Tuhan sebagai tempat yang patut disembah dan dirujuk. walaupun pada zahirnya dia dilihat sebagai tidak mengenali Tuhannya sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud;
"Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, maka lenyaplah dari ingatanmu apa yang kamu puja selain dari Allah."
Di sebalik keadaan tersebut, orang yang beriman lebih bebas dari keraguan yang menyiksakan hati dan dirinya. Dia mempunyai keyakinan yang teguh terhadap pengiktirafannya terhadap Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang wajib disembah. Dia meyakini bahawa Allah s.w.t telah mencipta dan membentuk manusia dengan rupa yang baik dan sempurna, mulia dan memiliki ciri-ciri yang istimewa. Kesempurnaan yang dimiliki oleh manusia ini telah melayakkan manusia untuk menjadi khalifah yang bertanggungjawab untuk mengurus, mentadbir, memimpin dan memakmurkan bumi ini. Mukmin yang beriman menerima watikah ini berserta dengan hukum yang diturunkan kepadanya. Maka, dia akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keimanan, dengan pegangan yang ampuh dalam hidup yang penuh cubaan dan kecurigaan ini.
Lanjutan dari perkara ini, orang yang beriman mengetahui antara kebaikan dan kejahatan; antara keadilan dan kezaliman; antara yang hak dengan yang batil; antara yang mengelirukan dengan yang nyata. Suka dan duka pada orang beriman adalah suatu fitrah yang datang silih berganti dan bukan sebagai noktah dalam penghidupan. Dia akan menganggapnya hanya sebagai suatu titik permulaan atau sekadar perhentian sementara. Orang yang beriman mendatangi hidup pada hari ini adalah suatu kerjaya, untuk mencapai keselesaan dan kebahagiaan dalam kehidupan mendatang, yang lebih meyakinkan dan kekal. Dia amat meyakini kehidupan dunia akan datang yang setiap orang akan menerima balasan usahanya, dan tidak disisihkan walau barang secebis.
Bagi orang yang beriman juga, dia meyakini bahawa penciptaan dirinya bukanlah suatu perkara yang sia-sia. Penciptaan setiap manusia itu sendiri merupakan suatu nikmat yang tiada terperi dan kewajipannya pula adalah untuk menegakkan hukum dan keadilan di tengah umat manusia.
Namun demikian, bagi mereka yang tidak beriman, sentiasa diselimuti kegelapan batin, kehairanan dan berada dalam keadaan yang ragu. Persepsi mereka terhadap kehidupan sangat kabur, mencemaskan dan menakutkan. Keadaan ini akan mengakibatkan kegelisahan yang berulang-ulang dan semakin menebal. Pendirian golongan ini juga tidak tetap, tidak tegas dan tidak meyakinkan.
Keadaan mereka yang tidak meyakinkan, tidak akan berubah selagi mereka tidak mengusahakan diri mereka untuk mencapai keimanan. Allah berfirman yang antaranya bermaksud;
"Dan sesiapa yang membelakang (menyangkal) dari mengingati Aku (Allah), sudah tentu akan memperoleh kehidupan yang sukar dan sempit. Kami akan mengumpulkan mereka nanti pada hari Kiamat menjadi orang buta. Dia berkata: Wahai Tuhanku! Mengapa aku Engkau kumpulkan menjadi orang yang buta, sedangkan ketika aku di dunia aku seorang yang mampu melihat? Maka Allah pun menjawab: Begitulah! Keterangan-keterangan Kami telah datang kepadamu, tetapi engkau melupakan (engkau tidak mempedulikan). Dan begitulah pada hari ini, engkau Kami tidak endahkan pula."
Pendirian yang meyakinkan dan tegas sebagaimana pendirian tegas orang-orang yang beriman hanya lahir apabila manusia menjadikan al-Qur'an sebagai sumber kehidupan dan sunnah Rasulullah sebagai mekanismenya. Sebagaimana maksud firman Allah;
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dan Kitab yang terang. Dengan itu, Allah memimpin sesiapa yang mehu mengikut keredaan-Nya ke jalan kedamaian, dan mereka dikeluarkannya dengan izin-Nya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpin-Nya ke jalan yang lurus."
Mereka yang jelas dengan jalan yang bakal ditempuhi tidak akan merasa gentar dengan apa yang bakal mereka lalui. Kebimbangan tidak wujud di dalam hati mereka disebabkan mereka hanya memohon keredaan daripada Allah s.w.t. Sebagaimana pengulangan yang disebut oleh orang beriman di dalam solat yang didirikan yang bermaksud, "Pimpinlah kami ke jalan yang lurus" Jalan yang disebutkan di dalam firman Allah sebagai;
"Sesungguhnya, inilah jalanku yang lurus, maka turutlah jalan itu. Dan janganlah kamu turut jalan-jalan yang lain, kerana nanti kamu akan terpisah dari jalan Allah. Itulah yang diperinthakan Tuhan kepada kamu, supaya kamu bertakwa."
Selain itu juga orang yang beriman yang dianugerahi ketenangan jiwa adalah disebabkan dia amat mengetahui dan meyakini bahawa dia tidak sekali-kali atau barang sedetik dalam keadaan terpencil dan terasing. Dia merasa bahawa Tuhan Maha Pencipta berada amat hampir dengan diri dan hatinya. Walau di mana dia berada, dia akan sentiasa merasakan bahawa Tuhan berada di sampingnya, dia amat meyakini dengan sebuah firman Allah yang berbunyi:
"Timur dan Barat itu kepunyaan Allah. Sebab itulah, ke mana sahaja kamu menghadapkan mukamu, maka di situlah wajah Allah. Sesungguhnya, Allah itu luas kurnianya dan Maha Mengetahui."
Dan Allah swt juga turut berfirman;
"Dia (Allah) ada bersama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah itu melihat dengan terang apa yang kamu lakukan."
Dia akan melahirkan ikatan perasaan tersebut dengan memuji, bertasbih dan tunduk kepada Tuhannya tanpa putus sebagai tanda kecintaannya terhadap Tuhannya. Sebagaimana pujian dan tasbih yang dilakukan oleh segala makhluk yang berada di sekitarnya sepertimana firman Allah yang bermaksud;
"Langit yang tujuh, bumi dan apa yang ada di dalamnya, bertasbih memuji Tuhan. Segala sesuatu, semuanya bertasbih memuji Tuhan, tetapi kamu tiada mengerti tasbih (pujian) mereka. Sesungguhnya Tuhan itu Penyantun dan Pengampun."
Dan ciri-ciri istimewa yang pasti dimiliki oleh mereka yang beriman, tiada konflik dalam diri mereka antara persimpangan istilah "jikalau" dan "seandainya".
Pengeluhan dan kekecewaan adalah punca utama mengapa manusia lazimnya terhalang jauh dari memiliki ketenangan jiwa. Manusia yang senantiasa memikirkan perkara yang telah berlaku tanpa memperbaiki dirinya pada hari ini dan untuk persediaan mendatang, sebenarnya hanya menzalimi dirinya sendiri. Dia seolah-olahnya hanya meletakkan beban demi beban di pundaknya disebabkan kekecewaan demi kekecewaan yang berlaku dalam perjalanan hidupnya. Dia hanya akan menyatakan, "kalaulah aku tidak melakukannya, sudah pasti aku tidak akan melalui nasib yang sebegini…" ataupun "jikalau aku melakukan begitu dan begini, sudah pasti aku akan menerima keuntungan begitu dan begini…"
Ini sebenarnya sebahagian sikap orang-orang munafik yang diterangkan di dalam firman Allah;
"Orang yang munafik yang mengatakan kepada rakan-rakannya, dan mereka sendiri tinggal di belakang: Kalau sekiranya mereka mengikut kita, tentulah mereka tidak akan mati terbunuh. Katakan: Cubalah hindarkan kematian itu dari dirimu kalau kamu memang orang-orang yang benar."
Demikianlah jawapan bagi suatu persoalan, bagaimanakah ingin memiliki ketenangan jiwa. Ketenangan jiwa hanya dapat diperolehi dengan hanya satu cara, yakni beriman dengan Allah. Dan keimanan itu disertai dengan akal budi yang diasaskan kepada petunjuk Allah swt. Dengan rasional seorang manusia yang bersumberkan tauhid kepada Allah. Dengan kekuatan emosi yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Memiliki pendirian yang tegas sebagai mukmin sejati.
Credit: http://www.geocities.com/mimbarkedah/145.html
How to Draw a Christmas Car
-
Looking for a fast art project to do with your students? This cute
Christmas car is quick (two sessions at 45 minutes each) and full of art
techniques: s...
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment