Berlakunya gerhana matahari dan gerhana bulan adalah diantara tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Diantara perkara yang amat dituntut dilakukan apabila berlaku gerhana matahari adalah melakukan solat sunat gerhana matahari (kusuf al-syams). Hukumnya adalah sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan). Rasulullah SAW bersabda:
(إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله تعالى لا ينخسفان لموت أحد ولا لحياته، فإذا رأيتم ذلك فافزعوا إلى ذكر الله تعالى وإلى الصلاة
“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana hidupnya. Maka apabila kamu melihat gerhana, maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan mendirikan solat.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Baginda SAW menyebutkan kata-kata di atas pada hari kematian anak lelaki Baginda, Ibrahim AS. Ada dikalangan manusia mendakwa bahawa kematian Ibrahimlah yang menyebabkan berlakunya gerhana matahari, iaitu lanjutan daripada kepercayaan karut mereka di zaman Jahiliyyah bahawa gerhana berlaku kerana kematian seseorang yang mulia. Kekarutan ini masih lagi berlanjutan dikalangan sesetengah masyarakat hari ini yang memukul besi-besi untuk membuat bising dan juga batang-batang pokok dengan harapan pokok-pokok buahan mereka mengeluarkan hasil yang lebat.
Hadith Rasulullah di atas menyangkal segala kekarutan tersebut. Sebaliknya dianjurkan supaya manusia melakukan solat sunat gerhana dan mendengar khutbahnya; iaitu mengingati Allah dan menginsafi akan kebesaran kuasaNya.
Anjurkan Di Tempat Anda
Oleh itu, amatlah baik jika anda dapat menganjurkan solat sunat gerhana matahari di tempat anda pada hari Isnin kelak. Ia bolehlah dilakukan setelah solat fardhu Asar iaitu secara berjemaah sebanyak dua rakaat dengan 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Kaedahnya:
Rakaat pertama
1.Niat solat Gerhana: “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” - (Jika berimam) dan takbiratul ihram
2.Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3.Rukuk
4.I’tidal
5.Baca Al-Fatihah dan surah
6.Rukuk.
7.I’tidal.
8.Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Baca Al-Fatihah dan surah.
2. Rukuk.
3. I’tidal,
4. Baca Al-Fatihah dan surah.
5. Rukuk.
6. I’tidal.
7. Sujud
8. Tahiyyat Akhir
Jika tidak pun, lakukanlah secara sendirian jika berhalangan untuk berjemaah.
Credit to: Nazri Chik
http://nazrichik.wordpress.com/2009/01/24/solat-sunat-gerhana-matahari/
No comments:
Post a Comment