Thursday, August 20, 2009

Bulan Ramadhan


Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183 , bermaksud ;

قال الله تعالى : يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا آُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ آَمَا آُتِبَ عَلَى الَّذِينَمِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman. diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

Sabda Rasulullah s.a.w ;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيماناً واحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ ما تَقَدّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barang siapa melakukan puasa Ramadhan semata-mata kerana keimanan dan mencari ganjaran, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi :

“Di bulan Ramadhan, umatku telah diberikan lima hal yang tidak diberi kepada umat sebelumnya ; bau mulut orang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada keharuman misik(kasturi), para malaikat memohon ampun untuk mereka sampai mereka berbuka, juga pada bulan itu syaitan diikat dan setiap hari Allah menghiasi syurga dan berkata : :Hamba-hamba-Ku yang soleh dihindarkan dari keburukan dan penyakit”. Serta Allah mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan”.

Nabi bersabda lagi:

الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات ما بينهن
إذا اجتنبت الكبائر – رواه مسلم

“Solat lima waktu, ibadah jumaat hingga jumaat berikutnya, ibadah Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi diantara waktu-waktu itu asalkan dosa-dosa besar dihindari.”

(HR Muslim)

Puasa itu merupakan benteng pertahanan dalaman yang dapat menolak segala arus-arus yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat seperti penzinaan, mengumpat, memaki hamun dan sebagainya. Justeru, umat Islam dituntut membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain yang boleh mempertingkatkan keimanan seseorang.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadith Qudsi yang bermaksud :

“Tiap-tiap amalan anak Adam ialah satu kebajikan bersamaan sepuluh balasan pahalanya membawa kepada 700 kali ganda”.

Daripada hadith ini, dapat difahami bahawa Allah SWT akan memberi balasan pahala dengan berterusan hingga melebihi daripada 700 kali ganda banyaknya sekiranya puasa dilakukan dengan penuh ketaqwaan dan keredhaan.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud :

“Melainkan puasa bahawasanya puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya”.

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah 261 bermaksud :

“… Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya…”.

Nabi s.a.w juga bersabda:

Dari Sahl bin Sa’d bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu disebut Ar-Royyan. Itulah pintu yang pada hari kiamat dikhususkan bagi orang-orang yang berpuasa. Tak ada satupun orang lain masuk dari pintu itu. Ketika itu berkumandang seruan: “Mana orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun bangkit (untuk masuk ke pintu itu). Tak ada satupun orang lain yang menyertai mereka. Apabila mereka sudah masuk, pintu itu ditutup. Jadi tak ada satupun orang lain yang masuk dari pintu itu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Fadilat Ramadhan

Antara kelebihan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan lain ialah malam Lailatul Qadar. Malam ini amat penting dan ditunggu-tunggu kerana ketika ini setiap amalan dan doa dimakbulkan dan ibadat sepanjang malam mendapat ganjaran pahala seperti beramal 1000 bulan (83 tahun tiga bulan).

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar malam Lailatul Qadar tidak diketahui. Pendapat yang paling masyhur ialah pada 10 Ramadhan terakhir. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw sendiri menghabiskan 10 hari terakhir Ramadhan dengan beribadah di masjid.

Mengapa tarikh sebenar malam ini tidak diberitahu kepada manusia? Tujuannya adalah untuk mendorong kita supaya sentiasa beramal, bukan menanti hari tertentu sahaja dan sebagai pengajaran kepada kaum muslimin supaya sentiasa berusaha mengerjakan amal soleh bagi memenuhi tuntutan hidup dunia dan akhirat.

Ketibaan Ramadhan sepatutnya disambut dengan penuh keinsafan dan ada persiapan minda untuk mengabdikan diri kepada Ilahi bagi merebut ganjaran pahala. Malah mereka yang mengerti kelebihan bulan ini mengharapkan ianya berlaku sepanjang tahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Apabila datang Ramadhan dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan”.

Hadith di atas merupakan satu dorongan kepada kaum muslimin supaya berusaha melakukan amal soleh dan berlumba-lumba membuat kebajikan semata-mata mencari keredhaan Allah. Oleh itu dapat menghindari perbuatan-perbuatan yang dirangsang oleh syaitan.

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Amalan Ramadhan

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah; (La Ilaha Ilallah)
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan
dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan menunaikan puasa ramadhan……

Credit to: http://attazkirah.wordpress.com/2008/08/31/selamat-menyambut-ramadhan/

No comments:

Post a Comment